Home > Isu Semasa > Chef Wan – Terima Gelaran Datuk

Chef Wan – Terima Gelaran Datuk

PRESTASI cemerlang dan ketokohan dalam bidang masakan sememangnya melayakkan Chef Redzuawan Ismail, 52, atau Chef Wan dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan, kelmarin.

Chef Wan antara 240 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2010 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara. Chef Wan menerima anugerah itu daripada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Kegigihan mempromosi masakan dan budaya masyarakat Malaysia di mata dunia turut membolehkan Chef Wan dianugerahkan pelbagai pengiktirafan antaranya Fellowship Award dari Thames Valley University of London, Anugerah Ahli Mangku Negoro Paku Buono (AMN) dari Raja Majapahit, Chef Melayu Moden Terbaik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan The Best Celebrity Chef In The World di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009.

Bapa kepada pelakon utama siri drama popular Akademi Polis, Serina Redzuawan ketika dihubungi menyifatkan anugerah itu adalah sambutan yang diraikan semua pihak. Biarpun berbelah bagi untuk menerima anugerah itu selepas empat kali menolaknya daripada negeri lain, ia juga satu penghormatan yang cukup besar dalam bidang masakan.

“Saya sedar bukan mudah untuk membawa gelaran Datuk. Apatah lagi memikirkan penampilan saya yang selamba. Imej berseluar pendek ke mana saja dan celoteh saya kadangkala yang suka cakap lepas menyebabkan saya menolak secara baik empat tawaran sama sebelum ini daripada beberapa negeri berbeza.

“Saya percaya nama Chef Wan itu sendiri sudah mempunyai jenamanya yang tersendiri. Pengiktirafan ini penghargaan cukup besar buat saya. “Alhamdulillah rezeki yang saya terima ini sebagai berkat daripada kesabaran dan kegigihan mempromosikan masakan di seluruh pelosok dunia. Penghargaan ini juga mencabar saya untuk bekerja lebih kuat lagi. “Tidak perlu panggil saya Datuk. Biarlah orang mengenali saya dengan gelaran Chef Wan saja,” katanya.

Menurutnya, dia membuat keputusan menerima gelaran itu selepas dinasihatkan ibu dan rakan. Paling menyedihkan apabila ibu sendiri memujuknya untuk menerima anugerah itu beberapa hari sebelum tarikh tutup mengesahkan penerimaan anugerah berkenaan.

“Selepas memaklumkan kepada ibu (Noraini) yang saya tidak mahu menerima gelaran Datuk itu, ibu datang ke katil saya pada awal pagi lalu, seterusnya meluahkan perasaannya dan memaklumkan pada usia yang sudah meningkat ibu juga mahu melihat saya menerima pengiktirafan itu.

“Ibu tengok betapa saya bersungguh-sungguh mempromosikan negara, bukan setahun dua, tetapi berpuluh tahun. “Ibu nampak macam mana ada yang hendak menjatuhkan saya namun semangat kuat dan Allah sudah menentukan inilah anugerah atas segala pengorbanan dan kesabaran saya selama ini.

“Paling menyayat hati apabila mendengar keluhan ibu. Dia pasti terkilan jika tidak dapat melihat anaknya menjadi Datuk ketika hayatnya masih ada. “Saya turut dinasihatkan teman rapat untuk menerima anugerah itu selepas sudah beberapa kali menolak.

“Tanpa melengahkan masa minggu lalu, tiga hari sebelum tarikh tutup pengesahan penerimaan pengiktirafan itu tamat, saya memaklumkan persetujuan dengan menanda tangani surat yang dikirimkan,” katanya. Begitupun, buat Chef Wan, pangkat yang dianugerahkan hanya di dunia saja. Apabila sampai waktunya kelak segala kekayaan dan gelaran itu tetap ditinggalkan. Malah, dia turut berasa sedih apabila mendengar sikap dan tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan gelaran Datuk untuk kepentingan peribadi. Chef Wan bersyukur dan sentiasa berkongsi kejayaan yang diperoleh itu bersama keluarga dan rakan rapat.

Malah, menyifatkan 2010 tahun yang cukup istimewa dengan pelbagai jadual program dan aktiviti bakal diadakan. Dia dijangka menyertai program bawah tajaan Kementerian Pelancongan Malaysia menerusi Festival 1st Book Fair di Paris dengan mempromosikan budaya dan pelbagai makanan dari Sabah dan Sarawak pada 10 Februari. Disusuli World Gourmand Cookbook pada 11 Februari selain Asean Food Festival yang berlangsung di London pada 15 Februari.

Chef popular ini turut diberi tanggungjawab mengetuai Bahagian Pelancongan Malaysia mempromosikan Malaysia Food Heritage sempena penganjuran World Shanghai Export pada Oktober ini, di samping mempromosi Sajian Istana Melayu di sekitar Eropah termasuk Rome, Itali dan Barcelona, Sepanyol sekitar September nanti. Kalendar Chef Wan juga padat dengan pelbagai program sepanjang November ini antaranya program Malaysia Asean Heritage Trail bersama Chef Wan.

Di samping sibuk menyiapkan rakaman program masakan 15 episod, Best Wan menerusi saluran Asean Food Channel. Di mana program yang mula disiarkan pada Tahun Baru Cina ini turut ditayangkan di beberapa stesen televisyen utama seperti BBC London dan Eropah. Pada masa sama Chef Wan turut mengadakan kerjasama dengan Taylors College Universiti untuk menubuhkan akademi masakan bertaraf dunia, CACA (Chef Wans Asian Culinary Academy) untuk pelajar yang ingin belajar memasak. Jika tiada aral kolej ini akan beroperasi sekitar Jun ini.


Kebanggaan Malaysia..

sumber : wanasr@hmetro.com.my

Share

Advertisements
Categories: Isu Semasa Tags: , ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: