Home > Artis Malaysia > Along Raja Lawak Kahwin

Along Raja Lawak Kahwin

SAMA padan sama cantik, ikatan cinta yang dibina selama ini akhirnya berakhir di jinjang pelamin. Inilah ketentuan tuhan yang menyatukan dua hati selepas pasangan artis ini merancang kira-kira dua tahun lalu untuk menjadi suami isteri.

Akhirnya apa yang mereka hajatkan kesampaian. Pasangan Along Cham (Raja Lawak 2) dan Zila (peserta Akademi Fantasi 4), mereka selamat diijabkabulkan dalam sebuah resepsi sederhana yang diadakan di Masjid Jamek Al-Amin, di Felda Lui Selatan 1, Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Di kalangan ahli keluarga, saudara-mara serta sahabat handai sudah pasti mereka gembira melihat kedua-duanya menamatkan zaman bujang dengan pilihan hati.

Dinikahkan pada 23 Januari lepas, akhirnya pada 14 Febuari akan datang barulah Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, dan pasangannya, Nur Azilah Seeron, 22, atau Zila disandingkan dalam satu majlis resepsi di Felda Jaya, Johor pula.

Terlebih dahulu, pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Rujuk Cerai Kawasan Bandar Sri Jempol, Jamhari Samsudin dengan dua kali lafaz nikah. Ini sekali gus menamatkan zaman pertunangan mereka yang dimeterai sejak 9 Disember tahun 2008.

Ketika ditemui, Along yang ternyata gembira dan bersyukur berkata: “Saya sangat gembira bergelar suami kepada Zila dan semua yang dirancang selama ini berjalan dengan lancar. Mudah-mudahan perkahwinan kami kekal ke akhir hayat.”

Suasana majlis meriah dengan kehadiran saudara-mara serta sahabat handai terdekat sambil diserikan dengan alunan muzik tradisional. Zila juga anggun mengenakan busana putih rekaan Ezlnnz Collections serta menerima RM200 untuk mas kahwin dan hantaran RM17,119 daripada suaminya itu.

Usai majlis ijab kabul, pasangan yang lahir daripada program realiti televisyen ini kemudian diraikan dalam majlis persandingan yang diadakan di kediaman keluarga Zila.

“Majlis persandingan ini mengikut budaya kampung dengan penduduk kampung bergotong-royong memasak hidangan untuk tetamu yang hadir.

“Cara itu bukan sahaja menjimatkan belanja bahkan dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kami seluruh kampung,” kata Zila.

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran, antaranya sirih junjung, mas kahwin, cincin dan gelang, jam tangan, minyak wangi dan alat solek, senaskhah al-Quran serta kek dan dibalas dengan sembilan dulang kepada pihak pengantin lelaki.

Sementara itu, Along berkata, dia tidak akan menyekat minat isteri melibatkan diri dalam bidang hiburan dan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Saya tidak akan menghalang malah akan terus memberi sokongan. Mengenai berbulan madu, mungkin bukan dalam masa terdekat ini kerana kami sibuk dengan tugasan masing-masing,” kata Along.

Kata Zila, dia tidak dapat menahan rasa berdebar dan gementar saat digandingkan bersama dengan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

“Memang saya akui saya sangat berdebar apabila naik pelamin. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan seperti apa yang diharapkan. Sudah pasti ini akan menjadi kenangan yang terindah buat saya,” katanya.

Sementelah kata Zila, dia yang bertungkus-lumus melakukan segala persiapan untuk meraikan hari bahagianya tempoh hari.

p/s : kredit untuk Rais Yeop Johari ( kosmo )

Share

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment